3,200 warga emas dapat dos ketiga

SINGAPURA 16 Sept. – Kira-kira 3,200 warga emas menyahut seruan kerajaan untuk  mendapatkan suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 semalam.

Dalam tempoh sehari, lebih 12,000 individu warga emas membuat janji temu untuk mendapatkan vaksin tambahan itu.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam catatan Facebooknya semalam menyifatkan sambutan itu satu permulaan yang memberangsangkan dan berharap lebih ramai warga emas akan mendapatkan suntikan dos ketiga mereka.

“Vaksin tambahan ini akan melindungi anda dengan lebih baik bagi tempoh selama beberapa bulan lagi atau lebih lama daripada itu,” tulis beliau.

Menurut Ong, kebanyakan warga emas yang sudah divaksin berkata mereka sememangnya mahu mendapatkan suntikan dos ketiga itu sebaik layak supaya dapat melindungi diri daripada jangkitan varian Delta.

Katanya, pasukan vaksinasi bergerak turut dikerahkan ke NTUC Health Nursing Home di Geylang East di mana 30 penghuni menerima suntikan dos ketiga semalam.

Kementerian sedang bekerjasama dengan agensi-agensi dan pihak-pihak berkepentingan seperti Persatuan Rakyat (PA) dan Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) untuk mendampingi, membimbing dan menggalak warga emas tampil mendapatkan suntikan dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment