Langkawi: Lima kes positif dikesan

PUTRAJAYA 16 Sept. – Sebanyak lima kes positif Covid-19 dikesan melalui saringan ujian RTK-Ag terhadap 2,528 individu yang mahu ke Pulau Langkawi hari ini, di empat pintu masuk lapangan terbang dan terminal feri di Kuala Perlis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga pukul 12 tengah hari,  seramai 2,546 disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.

Katanya, ia membabitkan sejumlah 1,250 individu yang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 individu lagi melalui jeti feri di Kuala Perlis.

Sejumlah enam individu menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang, dan kesemua keputusan adalah negatif.

Baki 12 orang kanak-kanak bawah usia enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.

Dalam satu kenyataan media, hari ini, beliau berkata, semua lima kes yang dikesan adalah kategori satu iaitu tidak bergejala.

Katanya, kes itu diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.

Dr Noor Hisham berkata, daripada lima kes yang dikesan positif itu, empat di Selangor iaitu satu kes positif yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiga lagi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang manakala satu kes lagi dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Bagi kes di KLIA, tiga kontak rapat kes positif juga tidak meneruskan perjalanan manakala dua kontak rapat bagi tiga kes yang dikesan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah juga berbuat demikian.

Dr Noor Hisham berkata, seiring dengan keputusan kerajaan memulakan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi hari, Kementerian Kesihatan (KKM) mula melaksanakan semakan ujian saringan Covid-19 dan juga ujian saringan bagi pelancong yang belum menjalankan ujian sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut.

Dr Noor Hisham berkata, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi sudah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.

Related posts

Leave a Comment