Pelancong Langkawi wajib diuji

PUTRAJAYA 15 Sept. – Tinggal beberapa jam sebelum Langkawi ‘dibuka’ esok, semua pelancong yang mahu menikmati kemudahan gelembung pelancongan menerusi Projek Rintis Langkawi, diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian pengesanan Covid-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen, perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Katanya, keputusan ujian itu perlu dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk, sama ada lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas.

Pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di tempat saringan yang disediakan atau mereka boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

Ujian pengesanan ini akan dilakukan terhadap individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7-17 tahun. Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terbabit akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata, bagi pelancong yang didapati negatif Covid-19, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kes positif dan kontak rapat yang sedia ada.

Beliau berkata, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama, seperti diumumkan Perdaan Menteri, Ismail Sabri Yaakob, pada 2 September lalu, sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.

Katanya, antara faktor yang dipertimbangkan dalam melaksanakan projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi itu termasuk liputan imunisasi lengkap penduduk dewasa di pulau terbabit yang mencapai 89.9 peratus manakala 91.8 peratus penduduk dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kesediaan operator pelancongan untuk menerima kedatangan pelancong.

Beliau berkata, projek rintis itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

Atas sebab itulah, katanya, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi sudah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.

“Pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna Kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya.

Related posts

Leave a Comment