2,500 enggan vaksinasi diasingkan

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Kira-kira 2,500 guru yang enggan divaksinasi tanpa alasan kesihatan akan ditempatkan di kawasan khas di sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka semula pada 3 Oktober ini. 

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata kawasan khas bagi kumpulan guru terbabit akan diasingkan daripada warga pendidik yang sudah divaksinasi serta murid. 

Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang meneliti jenis tindakan susulan yang akan dikenakan ke atas kumpulan guru terbabit, menerusi konteks peraturan dan tatacara perkhidmatan awam. 

Mengikut rekod KPM, kira-kira 2,500 guru dikenal pasti enggan divaksinasi tanpa alasan kesihatan.

“Secara umumnya, mereka (guru enggan divaksin tanpa alasan kesihatan) juga tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka di kelas, selain perlu membuat tugasan yang akan ditentukan kemudian,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein di Wisma Pertahanan,hari ini.

Mengenai cadangan memindahkan guru enggan divaksinasi ke sekolah berisiko rendah, Mohd Radzi berkata, pihaknya sedang meneliti pendekatan terbaik bagi memastikan keselamatan semua pihak, khususnya murid.

“Jumlah guru enggan divaksin ini hanya 2,500 daripada keseluruhan 500,000 guru dalam ekosistem KPM. Ia sedikit, namun kita sedang teliti pendekatan terbaik bagi memastikan keselamatan murid khususnya,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan keputusan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka dibuat selepas mengambil kira aspek kebajikan lima juta murid di seluruh negara.

“Kita boleh memilih tidak membuka sekolah dan ia jalan paling mudah, namun hakikatnya kita ada lima juta murid daripada pelbagai latar belakang dan renggang dengan sekolah untuk tempoh panjang, mulai Mei lalu.

“Kita khuatir ia akan memberi gambaran kepada murid bahawa mereka tidak akan kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka. Pembukaan berperingkat ini juga sekurang-kurangnya memberi gambaran baharu selari peralihan ke fasa endemik seperti dinyatakan KKM,” katanya.

Related posts

Leave a Comment