104 kematian, 176 kes BID

PUTRAJAYA 14 Sept. – Sebanyak 104 kes kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam, semalam.

Berdasarkan pangkalan maklumat COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 309 kes kematian tertunggak atau ‘back log’ juga disahkan semalam.

Mengikut perangkaan itu, sebanyak 176 kes kematian di luar kemudahan kesihatan (BID) yang menjadikan jumlah keseluruhan 3,958 meninggal dunia sebelum bantuan perubatan berupaya diberikan.

Selangor menjadi negeri tertinggi melaporkan kes kematian semalam termasuk jumlah tertunggak iaitu 111 kes, diikuti Kedah (54), Johor (52), Sabah (39), Kelantan (38), Pulau Pinang (33) dan Negeri Sembilan (29).

Pahang dengan 15 kes, Melaka dan Perak masing-masing 13 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (lapan) serta Sarawak dan Terengganu masing-masing lima kes.

Hanya tiga wilayah iaitu Perlis, Wilayah Persekutua Labuan dan Putrajaya tidak melaporkan sebarang pertambahan kes kematian semalam.

Sementara itu, bagi kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini, COVIDNOW memaklumkan sebanyak 228,124 kes dilaporkan sehingga pukul 11.59 malam semalam, dengan 188,563 atau 82.7 peratus masih menjalani kuarantin di rumah.

Selain itu, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) setakat semalam menempatkan 25,350 kes (11.1 peratus), hospital (12,910), manakala unit rawatan rapi (ICU) yang memerlukan alat bantuan pernafasan ialah 687 kes dan tanpa alat bantuan pernafasan (614).

Related posts

Leave a Comment