Brunei Darussalam rekod 160 kes

BERAKAS 13 Sept. – Dua lagi pesakit meninggal dunia hari ini dengan 160 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 4,323 kes dan   18 kematian di Brunei Darussalam, kata Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar.

Kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 77 tahun yang mengalami masalah jangkitan darah dan tidak dikategorikan sebagai kematian Covid-19 manakala kes kedua seorang wanita, 42 yang mengalami masalah paru-paru.

Menurut Dr. Md Isham, empat kluster baharu dikesan iaitu Kluster 4109 yang merekodkan enam kes, Kluster 2540 sebanyak 12 kes, Kluster 4120 sembilan kes dan Kluster 4009 empat kes. Ini menjadikan 73 kluster direkodkan.

Katanya, semua kes kluster baharu ini termasuk kes yang sebelum ini tidak diketahui punca jangkitannya.

Di samping itu terdapat 31 kes tambahan melibatkan 12 kluster aktif di mana mereka yang terlibat adalah individu yang dikuarantin dan mempunyai kontak dengan kes-kes sebelum ini.

Pada masa yang sama 98 kes lagi masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Brunei juga merekodkan 107 kes sembuh termasuk 22 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Jumlah kes sembuh di Brunei Darussalam meningkat kepada 2,754 kes dengan jumlah kes aktif 1,542 kes.

Dalam kalangan kes aktif itu, 11 dalam keadaan kritikal di mana semua memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala 27 kes dalam Kategori 4 ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment