Tiada lagi saman pelitup muka

BAGAN SERAI 13 Sept. – Kerajaan tidak akan mengeluarkan saman terhadap mana-mana individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam yang kini dijadikan pilihan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka di dalam bangunan juga kini adalah atas pilihan individu, seiring pengumuman dan penguatkuasaannya minggu lalu.

“Kerajaan tidak lagi akan keluarkan saman di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jadi, kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu, termasuk memakai pelitup muka jika mempunyai gejala Covid-19 dan mengasingkan diri sendiri, selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM), di sini, hari ini.

Orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

Dr Noor Azmi juga memberitahu , Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk memasuki fasa endemik Covid-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

Katanya, pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

Related posts

Leave a Comment