Dua dos mampu hadapi Delta

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Dua dos suntikan vaksin pelalian Covid-19 menunjukkan tahap keberkesanan terhadap varian Delta, kata pakar epidemiologi, Dr Ajit Pal Singh Raina,.

Beliau berkata, keputusan itu hasil penyelidikan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Guangzhou, Zhong Nanshan baru-baru ini.

Kajian mendapati dua dos vaksin mampu mencapai 59 peratus keberkesanan menentang varian itu.

Dua dos terbabit juga mampu membantu merawat tujuh daripada 10 pesakit dalam kategori penyakit respiratori sederhana manakala 100 peratus efikasi terhadap kes teruk.

“Ini bermakna vaksin lebih berkesan terhadap Covid-19 pada tahap sederhana berbanding Covid-19 ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan maklumat itu juga, hasil kajian didapati melebihi nilai ambang efikasi 50 peratus seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mana-mana vaksin.

Dr Ajit Pal yang juga pakar vaksin di Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) berkata, kajian itu dilakukan terhadap 628 peserta iaitu 153 pesakit varian Delta Covid-19 dan 475 kontak rapat kes di Guangzhou berusia 18 hingga 59 tahun.

Katanya, seramai 10 pesakit yang terpilih berada di tahap kritikal, enam bergejala teruk, 105 bergejala sederhana manakala 32 lagi bergejala ringan.

Beliau berkata, bagi keberkesanan menentang varian Delta, pengkaji memilih dua jenis vaksin yang terhasil daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus yang dimatikan atau dilemahkan untuk diberikan kepada pesakit, iaitu vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Biotech Ltd dan vaksin SARS-CoV-2 keluaran China National Biotec Group.

Kajian mendedahkan pesakit dengan suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin menunjukkan tahap perlindungan terhadap penyakit Covi-19.

Keberkesanan vaksin satu dos ialah 13.8 peratus. Kajian juga mendapati kesemua 16 kes Covid-19 yang kritikal dan teruk masih belum menerima vaksin SARS-CoV-2.

Saintis juga menemukan keberkesanan vaksin lebih tinggi terhadap golongan wanita dan dalam lingkungan usia 40-59 tahun (dengan kadar keberkesanan 72.5 peratus) jika dibandingkan dengan lelaki dan bagi mereka yang mempunyai penyakit Covid‐19 sederhana.

Ini menunjukkan keperluan untuk mempertingkatkan vaknisasi terhadap golongan wanita dan warga emas dalam program vaksinasi.

Related posts

Leave a Comment