Satu kematian 135 kes baharu Brunei

BERAKAS 6 Sept. – Satu lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 13 orang sejak pandemik itu dilaporkan di Brunei Darussalam, kata Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar.

Katanya, kematian melibatkan seorang wanita berumur 44 tahun yang mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti Covid-19

Dr. Md. Isham pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam juga memaklumkan 135 kes baharu Covid-19 disahkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,464 orang.

Katanya, satu kluster baharu juga dikesan iaitu Kluster Rimba Point yang membawa kepada 52 kluster aktif.

Kluster yang mengandungi 45 kes termasuk kes-kes yang dilaporkan sebelum ini yang tidak diketahui sumber jangkitannya.

Menurut Dr. Md Isham, terdapat 35 tambahan kes baharu kepada 13 kluster aktif yang sedia ada yang melibatkan mereka yang menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak dengan kes-kes sebelum ini.

Sebanyak 57 kes lagi masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Katanya,  pengesanan kontak bagi semua kes baharu ini masih giat dijalankan dan kesemua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Sementara itu sebanyak 263 kes telah disahkan sembuh pada hari ini termasuk 204 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

“Kesemua mereka telah melakukan ujian ‘swab’ ulangan pada hari ke-12 dan disahkan sembuh. Oleh itu, jumlah kes sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 1,871 manakala jumlah kes aktif sebanyak 1,574 kes,” katanya

Dalam kalangan kes aktif tersebut, lapan dalam keadaan kritikal di mana enam daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala dua  lagi memerlukan bantuan mesin tambahan ‘heart / lung machine’ (ECMO).

Sementara itu, 27 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,472 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 252,161 ujian.

Related posts

Leave a Comment