Kes dan kematian tertinggi Thailand

BANGKOK 7 Ogos  – Kes jangkitan harian Covid-19 di Thailand terus mencatatkan rekod baharu hari ini apabila 21,838 kes baharu dilaporkan dengan jumlah kematian juga tertinggi iaitu 212 kematian.

Rekod tertinggi sebelum ini adalah semalam, Jumaat dengan 21,379 kes dan 191 kematian.

Daripada jumlah kes hari ini, 20,911 kes melibatkan penduduk awam tempatan, empat kes import dan 923 orang dalam kalangan banduan sementara 21,108 kes sembuh direkodkan menjadikan 517,012 kes pulih.

Sejak 1 April lalu, bermulanya gelombang ketiga, Thailand merekodkan 707,659 kes dengan 489,586 kes sembuh dan 5,972 kematian.

Dan sejak pandemik bermula awal tahun lalu, jumlah kes yang direkodkan adalah 736,522 kes dengan 517,012 kes sembuh dan 6,066 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), kes kematian melibatkan mereka yang berusia antara 31-97 tahun, purata 67 dan terdiri daripada 116 lelaki .

Bangkok terus merekodkan kes tertinggi iaitu 4,221 diikuti Samut Prakan 1,428, Chonburi 1,418, Samut Sakhon 1,372, Nakhon Pathom 781, Nonthaburi 699, Saraburi 595, Pathum Thani 514, Chachoengsao 448 dan Ubon Ratchathani 396.

Empat kes import pula melibatkan ketibaan dari Turki (1), Malaysia (1) dan Myanmar (2).

Sebanyak 213,444 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan 5,159 kritikal di mana 1,060 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment