Kes harian Sarawak atasi Selangor

PUTRAJAYA 6 Sept. – Sarawak akhirnya mengatasi Selangor merekodkan kes harian tertinggi Covid-19 dengan mencatatkan 3,714 berbanding Selangor yang turun kepada 2,126 kes hari ini.

Walaupun angka keseluruhan kes turun dari 20,396 kepada 17,352, lapan negeri masih merekodkan empat angka.

Johor kini melepasi 150,000 kes apabila merekodkan 2,101 kes baharu berbanding 2,165 semalam menjadikan jumlah kumulatif negeri 151,459.

Sabah merekodkan 1,844 kes baharu berbanding 2,136 semalam diikuti Kedah turut menunjukkan peningkatan walaupun sedikit iaitu 1,599 berbanding 1,587 semalam.

Pulau Pinang merekodkan 1,558 kes berbanding 1,961 semalam manakala Kelantan juga menunjukkan peningkatan dengan 1,213 berbanding 1,078 semalam dan Perak naik sedikit dari 1,057 kepada 1,082.

Sementara itu Terengganu merekodkan 700 kes berbanding 861, Pahang 463 (486), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 398 (597) dan Negeri Sembilan mencatatkan 193 kes berbanding 269 semalam.

Melaka pula mencapai jumlah kumulatif 50,000 apabila 295 kes direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 50,765.

Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan 23 kes berbanding 25 semalam dan Perlis 38 kes berbanding 78 semalam.

Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan lima kes, bertambah satu kes berbanding semalam.

Related posts

Leave a Comment