Mu sudah tiba di Tokyo

TOKYO: Jepun pada hari Rabu mengesahkan kes pertama varian baharu Covid-19 Mu yang melibatkan dua orang wanita yang tiba dari luar negara menerusi pemeriksaan di lapangan terbang.

Kementerian Kesihatan mengumumkan kes pertama dikesan pada seorang wanita berusia 40-an tahun yang tiba dari Emiriyah Arab Bersatu pada 26 Jun dan kedua melibatkan wanita berusia 50-an yang tiba dari United Kingdom pada 5 Julai.

Kedua-dua wanita itu tidak menunjukkan gejala semasa tiba.

Semua pelawat ke Jepun dikehendaki menjalani ujian PCR semasa ketibaan dan menunggu keputusan – jika mereka disahkan positif, mereka akan dikuarantin di kemudahan yang dikhaskan atau dimasukkan ke hospital.

Baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan varian Mu yang juga dikenal sebagai B.1.621, sebagai varian yang diberi perhatian (variant of interest), tahap kedua tertinggi dalam senarai variannya.

Namun, masih belum jelas sama ada varian mu itu mudah berjangkit atau kebal vaksin.

WHO memberi amaran bahawa vaksin atau rawatan antibodi mungkin kurang berkesan terhadap varian Mu berbanding dengan keberkesanan terhadap versi asal koronavirus.

Dalam buletin mingguannya mengenai pandemik COVID-19, WHO menambah bahawa data awal menunjukkan keberkesanan vaksin terhadap Mu adalah lebih rendah, sama dengan yang dilihat pada varian Beta, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan dianggap lebih mudah berjangkit daripada koronavirus asal.

Setakat ini, WHO menetapkan Alpha, Beta, Gamma dan Delta sebagai varian yang membimbangkan (variants of concern), iaitu tahap klasifikasi tertinggi.

Varian Mu pertama kali dikesan pada Januari di Colombia dan setakat ini membentuk sekitar 40 peratus kes di negara itu.

Related posts

Leave a Comment