70 peratus kes dari industri

TANJONG 1 Sept. –  Sebanyak 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Pulau Pinang setakat ini dikenal pasti berpunca dari tempat kerja, terutama sektor perindustrian atau kilang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin, berkata sebanyak 6,222 daripada keseluruhan 8,668 kes yang direkodkan  berpunca dari tempat kerja, terutama kluster industri.

Beliau merujuk statistik itu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu dari 1 Jun hingga 14 Julai lalu.

“Antara punca jangkitan adalah menjurus kepada penempatan pekerja warga asing yang membabitkan percampuran antara lebih 10 kilang di satu kawasan penempatan atau asrama pekerja.

Di samping itu, fasiliti kediaman atau rumah untuk pekerja menjalani kuarantin juga didapati tidak sesuai dan jumlah penghuni melebihi kapasiti dihadkan hingga menyebabkan berlaku peningkatan jangkitan,” katanya menjawab soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkata, dalam tempoh awal tahun ini hingga 28 Ogos lalu, sebanyak 246 kilang di seluruh negeri diarah tutup berikutan kes Covid-19.

Ia membabitkan 135 kilang di daerah Seberang Perai Tengah, Barat Daya (47), Seberang Perai Selatan (29), Seberang Perai Utara (27) dan Timur Laut (7).

Berbanding tahun lalu hanya 17 kilang yang diarah tutup, iaitu 15 kilang di daerah Barat Daya serta masing-masing satu di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Norlela juga berkata, kes Covid-19 di negeri ini meningkat mendadak selepas aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), khususnya membabitkan kawasan seperti pasar awam, tapak pembinaan dan premis perniagaan.

Related posts

Leave a Comment