Brunei lapor dua kematian.

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Sept. – Dua lagi dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 di Brunei Darussalam termasuk seorang lelaki berusia 25 tahun yang disahkan positif pada 12 Ogos lalu.

Kematian kedua pula melibatkan seorang wanita berusia 54 tahun yang disahkan positif pada 12 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Md Isham Jaafar berkata, kedua-dua kes mengalami jangkitan paru-paru selepas di sahkan positif dan ini merupakan kematian ke-11 sejak pandemik bermula.

Katanya, sebanyak 146 kes baharu direkodkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 2,858.

Dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster 2632 yang merekodkan 29 kes dan Kluster 2417 dengan 18 kes. Jumlah kluster kini adalah 48.

Kedua-dua kluster termasuk mereka yang telah dikuarantin selepas mempunyai kontak dengan kes yang dilaporkan.

Sebanyak 43 kes baharu berkaitan tujuh kluster aktif manakala 58 kes lagi masih dalam siasatan berkaitan punca jangkitan.

Sementara itu, sebanyak 87 kes dilaporkan sembuh menjadikan 1,053 kes pulih manakala kes aktif pula 1,791.

Enam kes kritikal dilaporkan.

Related posts

Leave a Comment