Tudung : Ada 7,000 wanita Muslim

SINGAPURA 30 Ogos – Kementerian Kesihatan (MoH) akan menyemak semula dasar bagi pakaian seragam dalam sektor jagaan kesihatan bagi membolehkan kakitangan dan jururawat wanita Muslim memakai tudung sebagai tambahan kepada seragam mereka, jika mereka mahu berbuat demikian.

Dalam kenyataannya, dasar itu akan melibatkan lebih 7,000 wanita Muslim yang bertugas sebagai kakitangan beruniform dalam sektor penjagaan kesihatan.

Sektor itu termasuk kumpulan penjagaan kesihatan awam iaitu SingHealth, National Healthcare Group (NHG) dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional di samping Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Vanguard Healthcare dan Ministry of Health Holdings.

“Tudung akan menjadi tambahan kepada pakaian seragam. Ini akan dibenarkan dalam peraturan pakaian yang disemak semula, yang akan dikeluarkan oleh institusi-institusi tersebut,” kata MoH.

Peraturan pemakaian itu berdasarkan garis panduan pelaksanaan dan klinikal yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Panduan Pelaksanaan (ISC) dan Panel Penasihat Klinikal (CAP) yang dilantik MoH.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada para wakil dalam sektor-sektor jagaan kesihatan awam, masyarakat dan swasta, Kesatuan Pekerja Khidmat Jagaan Kesihatan (HSEU), Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Sementara itu, sektor swasta yang berkaitan penjagaan kesihatan digalak merujuk dasar pakaian seragam yang sudah disemak bagi sektor jagaan kesihatan awam serta digalak mempertimbangkan konteks pertubuhan masing-masing sebelum membuat keputusan.

Related posts

Leave a Comment