80 peratus warga Singapura lengkapi dos

SINGAPURA 29 Ogos – Sebanyak 80 peratus penduduk Singapura sudah menerima suntikan lengkap dua dos vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.

Perkembangan ini katanya bermakna Singapura telah mengambil satu lagi langkah maju ke hadapan untuk menjadikannya lebih berdaya tahan terhadap Covid-19.

Beliau dalam catatan di Facebooknya berkata ini adalah hasil usaha kolektif ramai orang yang bekerja di belakang tabir serta rakyat Singapura.

Katanya, setiap minggu, 700 permohonan diterima bagi vaksinasi di rumah, dengan lebih 4,300 orang sudah menerima suntikan vaksin mereka.

Bagi memenuhi permintaan yang meningkat, pasukan vaksinasi di rumah ditambah daripada 11 kepada 33 pasukan, termasuk lebih 200 doktor dan jururawat relawan serta bantuan daripada anggota SAF.

Langkah itu mengurangkan masa menunggu daripada lapan kepada empat minggu.

MOH berharap untuk menyelesaikan semua vaksinasi di rumah menjelang hujung September, menandakan satu lagi langkah penting dalam program vaksinasi negara.

Related posts

Leave a Comment