61.9 peratus lengkap dua dos

PUTRAJAYA 29 Ogos – Sebanyak 14,487,972 individu atau 61.9 peratus daripada penduduk dewasa di seluruh negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), penerima dos pertama pula adalah sebanyak 82.2 peratus atau 19,236,772 orang.

Dengan perkembangan ini, sebanyak 44.4 peratus daripada rakyat Malaysia sudah lengkap mendapatkan vaksin, sementara 58.9 peratus lagi sudah mendapatkan suntikan dos pertama.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 33,724,744 dos.

Semalam, jumlah pemberian vaksinasi harian adalah sebanyak 336,642 dos membabitkan 146,632 dos pertama dan 190,010 dos kedua.

Sementara itu Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 93.2 peratus atau 63,830 orang daripada populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

Ini diikuti Lembah Klang dengan 89.5 peratus (5,518,094 orang), Sarawak 86.6 peratus (1,769,107 orang), dan Negeri Sembilan 77.1 peratus (627,900 orang), Perlis 65.2 peratus (118,093 orang), Melaka 56.6 peratus (383,714 orang) dan Pulau Pinang 54 peratus (738,414 orang).

Related posts

Leave a Comment