Keluarga Singapura terima kit ART

SINGAPURA 28 Ogos – Setiap keluarga akan menerima satu bungkusan yang mengandungi enam kit ujian pantas antigen (ART) kendiri mulai hari ini sehingga 27 September menerusi SingPost.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada strategi Singapura untuk mempergiat usaha menjalankan ujian Covid-19.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) dalam usaha kerajaan beralih secara bertahap ke arah sebuah negara berdaya bingkas dalam menentang Covid-19, masyarakat akan memainkan lebih banyak peranan dalam menangani pandemik.

“Satu teras utama adalah untuk mengamalkan tanggungjawab sosial dengan menjalankan ujian kendiri dan memantau status kesihatan masing-masing,” kata MoH.

Selain pengagihan itu di merata negara, kit-kit ART juga akan diagihkan kepada semua pelajar dan kakitangan prasekolah, Tadika Kementerian Pendidikan (MoE), pusat intervensi awal, sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas termasuk bahagian sekolah rendahnya.

Ujian kendiri menggunakan kit ART adalah langkah mudah dan cepat untuk memberi ketenangan kepada mana-mana individu yang bimbang tentang jangkitan tidak bergejala selepas menyedari tentang kemungkinan adanya kontak dengan kes positif.

Related posts

Leave a Comment