Kluster Bugis Junction catat 20 kes

SINGAPURA 25 Ogos – Tiga kluster baharu  Covid-19 dikesan di Singapura termasuk yang dikaitkan dengan Bugis Junction, salah satu kawasan membeli belah popular yang merekodkan 20 kes.

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan siasatan sedang dilakukan ke atas 20 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan individu yang bekerja di Bugis Junction.

Mereka yang bekerja di kedai-kedai yang terjejas di Bugis Junction akan diuji, manakala kontak rapat kes akan dikuarantin.

Di samping itu ujian percuma juga disediakan kepada orang ramai yang pergi ke kedai-kedai atau menggunakan perkhidmatan atau kemudahan di sana antara 17 Ogos dengan 24 Ogos.

Pengunjung ke Bugis Junction pada tarikh berkenaan dinasihatkan supaya memantau kesihatan mereka selama 14 hari daripada tarikh kunjungan dan mengurangkan interaksi sosial sebanyak mungkin.

Bagi mereka yang hanya berjalan melalui pusat beli-belah itu untuk ke bangunan-bangunan bersebelahan atau stesen MRT Bugis tidak perlu menjalani ujian tersebut.

Satu lagi kluster baharu dengan lapan kes juga dilaporkan di Rumah Peralihan Selarang di Upper Changi Road North dan satu kluster Kes 68238 dengan dua kes.

Setakat semalam, sebanyak 70 kluster aktif dilaporkan di Singapura.

Related posts

Leave a Comment