Kematian di Thailand cecah 10,000

BANGKOK 25 Ogos – Jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 di Thailand kini mencecah 10,000 orang apabila 297 lagi dilaporkan meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan 10,085 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, dalam tempoh 24 jam juga, sebanyak 18,417 kes baharu dilaporkan, berbanding 17,165 semalam yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,102,368 kes.

Daripada 18,417 kes baharu itu, sebanyak 18,271 kes melibatkan orang awam (termasuk 10 kes import) dan 146 dalam kalangan banduan.

Pada masa yang sama, sebanyak 21,186 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih meningkat kepada 903,015 orang.

Sementara itu Bangkok merekodkan kes kematian tertinggi dengan 99 kes di samping beberapa wilayah lain yang mencatatkan angka tinggi termasuk Samut Prakan 41, Samut Sakhon 15 dan Pathum Thani 10.

Bangkok juga merekodkan kes harian tertinggi dengan 4,139 kes diikuti 2,237 kes di Samut Prakan, 1,132 di Samut Sakhon dan 974 di Chonburi.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari  Laos (1), Kemboja (4), Malaysia (1), Myanmar (1), Netherlands (1), Israel (1) dan United Kingdom (1).

Sementara itu, sebanyak 189,268 pesakit sedang mendapatkan rawatan di hospital di mana 5,189 dalam keadaan serius dan 1,096 bergantung kepada bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment