Kes harian kembali lepasi 20,000

PUTRAJAYA 24 Ogos – Kes harian Covid-19 kembali melepasi 20,000 apabila 20,837 kes direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,593,602 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, setakat ini sebanyak 262,713 kes aktif dengan kebolehjangkitan dilaporkan dan daripada jumlah itu 1,063 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 511 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam kenyataan, hari ini, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 9,540 kes berada dalam kategori satu iaitu tidak mempunyai gejala dan daripada jumlah berkenaan 81.5 peratus tidak lengkap vaksinasi.

Bagi kategori dua iaitu mempunyai gejala ringan, sebanyak 10,939 kes dikesan dan 52.5 peratus tidak lengkap vaksinasi dan kategori tiga, yang mempunyai radang paru-paru, 195 kes dan 80.5 peratus tidak lengkap vaksinasi.

Kategori empat iaitu pesakit memerlukan bantuan oksigen, 63 kes dikesan (82.5 peratus tidak lengkap vaksinasi) serta kategori lima, iaitu kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan adalah 100 kes (83 peratus tidak lengkap vaksinasi).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, 40 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) membabitkan 26 warga negara dan 14 warga asing.

Sejumlah 41 kes kematian dilaporkan di Johor, Selangor 36, Kedah 32, Pulau Pinang 23,  Sabah 17, Perak 16, Negeri Sembilan 12, Kuala Lumpur 10, sembilan kes di Pahang, lima di Terengganu dan masing-masing tiga kes di Kelantan dan Melaka serta masing-masing dua kes di Sarawak dan Perlis.

Mengenai 34 kluster baharu yang dikesan, Dr Noor Hisham berkata, ia sudah menjangkiti 1,137 individu.

Daripada jumlah kluster baharu yang dikesan itu, 22 kluster membabitkan tempat kerja, komuniti (sembilan), kumpulan berisiko (dua) dan pusat tahanan (satu).

Setakat pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 18,613 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 di negara ini mencecah 1,316,336 kes.

Related posts

Leave a Comment