Jangan terpengaruh antivaksin

JOHOR BAHRU 23 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambil vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

Baginda bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin. Jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini.

“Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah baginda menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim, hari ini.

Sultan Ibrahim berharap semua rakyat Johor mendapatkan suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Semalam media melaporkan, seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, dilaporkan berkata susulan itu Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dilaporkan akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan 779 guru yang terlibat bagi mencari penyelesaian isu itu.

Related posts

Leave a Comment