KABINET JANGAN TERLALU ‘TERIKAT’

BERSABARLAH ! Tunggu sahaja pengumuman rasmi. Sejak Ismail Sabri Yaakob diumumkan sebagai Perdana Menteri (PM) dan kemudian mengangkat sumpah jawatan, pelbagai saranan dan tuntutan dikemukakan.

Mungkin jika bukan orang politik, tidak sanggup mendengar dan membaca itu semua, tetapi bagi orang politik, semua itu perkara biasa, malahan ada yang telinga tebal, muka tebal atau masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Pelbagai cadangan muncul dari pelbagai sudut untuk memastikan Kabinet yang hanya berbaki dua tahun ini benar-benar dapat memulihkan ‘kerosakan’ yang berlaku. Menariknya sudah ada grafik Kabinet baharu.

Begitulah keprihatinan rakyat yang juga kreatif mencipta sesuatu – senarai Kabinet – mendahului masa dan keputusan PM..

Setakat ini, saya menerima sekurang-kurangnya tiga ‘senarai Kabinet’ . Siap dengan gambar. Ada juga senarai tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Menteri.

Semua ini berlaku disebabkan masing-masing mungkin sama ada ‘mewakili pihak’ yang menuntut jawatan atau sengaja mencari ruang untuk memberi pelbagai persepsi yang tidak baik terhadap pihak tertentu, sama ada kerajaan, parti politik atau PM.

Amat malang jika apa yang digambarkan dengan pelbagai senarai Kabinet itu hanya memberi fokus kepada jawatan, individu dan parti.

Kabinet sewajarnya dibarisi oleh mereka yang benar-benar profesional, boleh bekerja, jujur, amanah, bebas rasuah, tiada skandal, tidak terpalit dengan pelbagai tuduhan dan sebagainya.

Cuba jangan terlalu terikat dengan politik ketika membentuk Kabinet.
Memang benar orang politik boleh berkata-kata umpama lembut lidah dari gusi, umpama tanam tebu tepi bibir atau cakap tidak serupa bikin.

Mereka mudah berkata-kata tidak ada dendam, tidak ada ugutan, sokong 100 peratus kepada PM dan sebagainya. Realiti politik yang diwarisi hari ini tidak begitu. Dalam diam ada ugutan, dendam, hasad dengki dan macam-macam lagi.

Sebabnya majoriti dan minoriti. Boleh jual beli atau tawar menawar. Kek yang kecil terpaksa dibahagi dalam kumpulan yang besar.

Kita menyambut baik saranan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) supaya semua pihak menghormati keputusan berkaitan pelantikan Ismail Sabri ini. Bagi Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat mengikut apa yang ditetapkan oleh perlembagaan.

“Ini adalah cabaran bagi parti pembangkang untuk bekerja keras menghadapi Pilihan Raya ke-15. Bersama-samalah kita berdoa dan berusaha supaya pandemik Covid-19 berakhir dan ekonomi kembali pulih demi rakyat jelata,” katanya.

Itulah yang sepatutnya. Bukan sekadar PH tetapi juga Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bekerja keras supaya keputusan PRU15 tidak berdepan dengan situasi seperti sekarang ini gara-gara kerajaan tidak ada majoriti, dan terus berlegar dengan angka.

Justeru hentikanlah kenyataan yang boleh menyebabkan PM dalam keadaan serba salah dalam membentuk Kabinet yang penting ini.

Ini tidak bermakna Ismail Sabri tidak boleh mengambil pandangan pelbagai pihak untuk kebaikan bersama. Tetapi untuk tempoh kritikal ini, jangan terikat dengan pelantikan mengikut status quo atau kedudukan parti.

Berdasarkan pelbagai kenyataan (kecuali parti politik), rakyat mahu Kabinet yang benar-benar dapat bekerja menghadapi kemelut kesihatan dan ekonomi. Itu yang penting. Mereka tidak mahu berpolitik.

Jangan ditambah lagi kemelut politik di dalam Kabinet ‘sementara’ ini. Bentuklah Kabinet yang sederhana saiznya, tidak terlalu terikat dengan Kabinet balas budi, Kabinet terima kasih, Kabinet balas dendam, Kabinet tarik tali dan apa sahaja label yang condong kepada politik.

Biarlah dinamakan ‘Kabinet Dapur’ sekali pun tetapi PM sebagai ketua chef tidak terputus bekalan ramuan untuk memasak lebih-lebih lagi ketika norma baharu kehidupan ini. Sebut apa sahaja – asam, garam, santan, ikan dan sebagainya, semua tersedia untuk ‘dihidangkan’ kepada rakyat.

Related posts

Leave a Comment