Ismail Sabri sah sebagai PM

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Sah sebagai Perdana Menteri ke-9.  Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob petang ini mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara..

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada pukul 2.30 petang.

Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara pemimpin parti politik yang hadir, bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Maximus Ongkili; Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS),  Arthur Joseph Kurup.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Dr Rais Yatim.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan, diiringi isteri beliau, Muhaini Zainal Abidin ke istiadat berkenaan.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Related posts

Leave a Comment