77% lengkap 2 dos di Singapura

SINGAPURA 19 Ogos – Lebih 8.4 juta dos vaksin Covid-19 telah diagihkan kepada rakyat Singapura di bawah program vaksinasi nasional, dengan 4,170,573 individu telah melengkapi vaksinasi penuh setakat Selasa lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) di samping itu sebanyak 153,020 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam Senarai Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diberikan yang meliputi 84,172 individu.

Secara keseluruhan, 77 peratus penduduk Singapura sudah melengkapi vaksinasi mereka atau menerima dua dos vaksin Covid-19, sementara 82 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, jumlah kes baharu dalam masyarakat merosot daripada 448 kes pada minggu sebelumnya kepada 316 kes pada minggu lalu.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga menurun daripada 125 kes kepada 94 dalam tempoh yang sama.

Purata bergerak tujuh hari bagi semua kes dalam masyarakat dengan hubung kait dan yang tiada hubung kait masing-masing adalah 31.7 dan 13.4.

Related posts

Leave a Comment