SD : Bersatu serah pada Muhyiddin

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi mandat kepada Presidennya, Muhyiddin Yassin, menentukan pendirian parti itu dalam isu akuan bersumpah (SD) menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Keputusan itu dicapai dalam pertemuan beberapa pemimpin Bersatu dan Ahli Parlimen serta wakil parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, petang ini.

Isu SD bagi menyokong Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera daripada UMNO itu, dikatakan dibuat Ahli Parlimen PN, jika Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga bekas Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar, berkata Muhyiddin diberi mandat dan kepercayaan untuk menentukan keputusan terbaik berhubung isu itu.

Dalam suasana politik, ekonomi dan kesihatan yang amat mencabar sekarang, soal SD itu teknikal.

“Pendeknya, kalau perlu SD…SD lah, kalau ketua parti (Muhyiddin) memaklumkan kepada yang berkuasa (Yang di-Pertuan Agong)…itulah pendirian kita, ini mandat kepada presiden untuk beri pendirian parti jika diminta Agong,” katanya.

Related posts

Leave a Comment