BERAKAS 14 Ogos – Kementerian Kesihatan mengaktifkan Perintah Kuarantin Digital mulai semalam, ciri baharu di dalam aplikasi BruHealth, salah satu kaedah pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung penularan Covid-19.
Melalui Perintah Kuarantin Digital ini, kementerian akan memberikan notis dan memaklumkan kepada kontak-kontak terdekat bahawa mereka telah dikenal pasti sebagai kontak kepada kes positif Covid-19.
Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar pada sidang medianya semalam berkata, melalui kaedah itu, pihak berkuasa dapat memantau status mereka yang dikenakan Perintah Kuarantin secara maya.
Melalui aplikasi, pihak berkuasa dapat mengetahui keberadaan mereka pada setiap masa; menerima pengesahan tanda-tanda jangkitan yang mungkin dialami dengan ‘check-in’ harian; dan menerima permohonan untuk penghantaran makanan.
“Ia juga menjadi dokumen digital bagi para pekerja memaklumkan kepada pihak atasan mereka mengenai Perintah Kuarantin yang dikenakan; dan mengurangkan keperluan pengeluaran Perintah Kuarantin secara bertulis, khususnya bagi mereka yang mempunyai akses kepada aplikasi BruHealth,” katanya.
Menurut Dr Md Isham, melalui Perintah Kuarantin Digital tersebut, ia boleh mengesan jika seseorang yang dikuarantin berada pada jarak melebihi 100 meter daripada kediaman mereka, dan penguat kuasa akan dimaklumkan dengan serta merta.
Beliau juga mengingatkan mereka yang didapati melanggar atau ingkar mana-mana arahan yang dikeluarkan semasa pandemik Covid-19 ini, boleh dikompaun sehingga BND5,000 atau didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga BND10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan ataupun kedua-duanya sekali.
