1,047 lagi kes VOC dikesan

PUTRAJAYA 4 Nov. – Sebanyak 1,047 lagi kes varian membimbangkan (VOC) dikesan di seluruh negara, kesemuanya membabitkan varian Delta (B.1.617.2), sepanjang tempoh 29 Oktober lalu hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 790 kes varian, diikuti Pulau Pinang (56) dan Johor (55).

Ini diikuti Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing merekodkan 34 kes; Selangor (31); Sabah dan Melaka (masing-masing 16); Kuala Lumpur dan Perlis (masing-masing enam) serta Labuan (tiga).

Beliau berkata, kes terbabit dikenal pasti hasil kajian berterusan oleh Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS); UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM); Integrative Pharmacogenomics Institute, Universiti Teknologi Mara (iPROMISE-UiTM); dan Malaysia Genome Institute (MGI).

IHCM-UNIMAS mengenal pasti sebanyak 790 kes varian Delta (B.1.617.2), UMBI-UKM (113), iPROMISE-UiTM (96) dan (48).

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan media, hari ini berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) ialah 3,692 kes, setakat ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,672 kes adalah VOC, manakala 20 lagi VOI.

Secara keseluruhan hingga kini, beliau berkata, VOC yang dikesan membabitkan 3,432 kes varian Delta, varian Beta (226) dan varian Alpha (14).

VOI pula membabitkan 13 kes varian Theta, varian Kappa (empat) dan varian Eta (tiga).

Related posts

Leave a Comment