4 juta di Singapura lengkap vaksinasi

SINGAPURA 13 Ogos – Setakat Rabu, lebih 8.2 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di bawah program vaksinasi nasional, dengan hampir 4 juta orang lengkap vaksinasi penuh.

Di samping itu, 141,405 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam Penyenaraian Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah diberikan kepada 82,881 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), secara keseluruhan, 73 peratus penduduk Singapura sudah selesai menerima dua dos sementara 81 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Sementara itu tiga kluster baharu Covid-19 dikenal pasti, termasuk satu di SAFRA Tampines dan satu lagi di My First Skool di 54 Chin Swee Road menjadikan 119 kluster aktif di Singapura.

Sebanyak sembilan kes dikaitkan dengan kluster SAFRA Tampines, enam kes berhubung kait dengan kelompok di My First Skool, prasekolah kedua yang dikenal pasti sebagai kluster sejak dua hari lalu.

Menurut MoH, enam lagi jangkitan dikaitkan dengan kelompok di prasekolah Superland di Pusat Masyarakat Kreta Ayer, menjadikan jumlah kes dalam kelompok itu sebanyak 10 kes.

Tiada kes baharu kaitkan dengan kluster Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar & Pusat Makanan Hong Lim, kelompok aktif terbesar di Singapura, dengan 1,151 jangkitan.

Sementara itu, sebanyak 470 pesakit dirawat di hospital, sembilan daripadanya dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi manakala 36 kes penyakit serius memerlukan bantuan oksigen.

Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 37 pesakit berusia lebih 60 tahun, di mana 32 daripada mereka belum selesai divaksinasi atau langsung tidak mendapatkan suntikan vaksin.

Terdapat bukti berterusan bahawa hampir kesemua individu yang mendapatkan vaksin sepenuhnya tidak mengalami sakit serius jika dijangkiti, kecuali jika mereka mempunyai keadaan kesihatan sebelumnya yang membuat mereka lebih lemah.

Related posts

Leave a Comment