2 kluster baharu, 55 kes jangkitan

BANDAR SERI BEGAWAN 13 Ogos – Dua kluster baharu dan 55 kes jangkitan harian Covid-19 termasuk satu kes import dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Brunei Darussalam meningkat kepada 598.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, dua kluster baharu yang dikesan adalah Kluster 451 yang merekodkan tiga kes dan Kluster 477 sebanyak dua kes .

Nama kedua-dua kluster merujuk kepada kes berkenaan.

Kluster Chung Hua merekodkan 16 kes baharu diikuti Kluster Imigresen (3), Kluster 499 (3), Kluster ABCi (2), Kluster Total (2), dan Kluster Champion 7 (1) manakala 22 kes lagi tidak diketahui puncanya.

Satu lagi kes import direkodkan hari ini melibatkan ketibaan dari United Kingdom pada 30 Julai lalu

Kesemua kes tempatan dan kluster aktif itu adalah  mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes sebelum ini.  Ketika ini pengesanan kontak masih diteruskan.

Menurut Dr Md Isham, lima lagi pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah sembuh menjadikan jumlah kes pulih seramai 327 orang.

Ini bermakna terdapat 268 kes aktif di mana dua orang dalam keadaan kritikal dan dua lagi dalam pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Related posts

Leave a Comment