1,159 Orang Asli positif

IPOH 13 Ogos – Seramai 1,159 Orang Asli dalam daerah Batang Padang telah dijangkiti Covid-19 dengan 12 kematian dilaporkan sehingga kini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Perak,  Dr Ding Lay Ming.

Beliau berkata, punca jangkitan bermula dari Orang Asli yang bekerja di kilang dan tempat kerja dengan kejadian kluster Covid-19 dan seterusnya merebak ke komuniti masing-masing.

Menurutnya, tindakan kawalan jangkitan dijalankan melalui pengasingan dan rawatan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) Sungkai khas bagi pesakit Covid-19 di kalangan Orang Asli dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi 24 buah kampung terlibat.

Selaras dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sehingga 13 Ogos, vaksinasi dos pertama telah diberi kepada seramai 10,221 orang atau 45.5 peratus dari Orang Asli kampung pinggiran di seluruh Perak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sasaran 80 peratus warga dewasa Orang Asli pinggiran negeri Perak menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dijangka  dicapai akhir bulan ini.

Related posts

Leave a Comment