Kes harian tertinggi Malaysia

PUTRAJAYA 12 Ogos – Kes positif jangkitan Covid-19 sekali lagi mencatatkan angka tertinggi hari ini apabila 21,668 kes dilaporkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut merekodkan 17,687 kes sembuh sepenuhnya dan dengan ini kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 237,021 atau 17.66 peratus daripada keseluruhan kesKetua

Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan kes hari ini, sejumlah 1,342,215 kes positif Covid-19 sudah dikesan sejak Januari 2020 manakala 1,093,503 kes sudah sembuh sepenuhnya.

Sebanyak 21,610 kes adalah penularan tempatan dengan 18,332 daripadanya warganegara (84.8 peratus) dan 3,278 bukan warganegara (15.2 peratus) manakala 58 kes import membabitkan 20 warganegara, 38 bukan warganegara.

Sebanyak 318 kematian dilaporkan yang membabitkan 118 kes di Selangor; 52 di Johor; 45 di Kuala Lumpur; 28 di Sabah; 19 di Kedah; masing-masing 10 di Pulau Pinang dan Melaka; sembilan di Perak; lapan di Pahang; tujuh di Negeri Sembilan; serta masing-masing empat di Sarawak, Kelantan, dan Terengganu,

Daripada bilangan kematian harian itu, 256 adalah warganegara dan 62 bukan warganegara manakala sebanyak 93 kes adalah jenazah yang dibawa ke hospital yang membabitkan 57 warganegara dan 36 bukan warganegara.

Selain itu, sebanyak 1,059 kes kini dirujuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 543 memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM turut merekodkan sebanyak 45 kluster jangkitan baharu dengan 30 daripadanya adalah kluster tempat kerja, membabitkan 1,104 kes; 11 kluster komuniti (251 kes) dan masing-masing dua kluster komuniti (36 kes) dan pendidikan (24 kes).

Ia menjadikan sebanyak 4,079 kluster dikesan setakat tengah hari tadi, dengan 2,798 kluster sudah ditamatkan dan 1,281 kluster masih aktif.

“Daripada 21,668 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 440 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 21,228 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, hanya 2,720 kes (12.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini sudah lengkap divaksinasi iaitu yang lengkap dua minggu selepas dos kedua vaksinasi,” katanya.

KKM mendapati seramai 12 pesakit kategori 5 sudah divaksinasi, disusuli sembilan dalam kategori 4 dan 19 dalam kategori 3. Seramai 1,452 dalam kategori 2 juga sudah menerima pelalian lengkap dan seramai 1,228 dalam kategori 1.

Related posts

Leave a Comment