Kematian tertinggi di Thailand

BANGKOK 10 Ogos – Thailand merekodkan 19,843 kes baharu Covid-19 dengan mencatatkan kematian tertinggi iaitu 235 orang berbanding sebelum ini 212 yang direkodkan bersama 21,838 kes tertinggi pada Sabtu lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19,445 kes adalah melibatkan orang awam (termasuk 21 kes import) dan 398 dalam kalangan banduan.

Sebanyak 22,806 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital sementara 211,223 sedang mendapatkan rawatan di mana 1,106 memerlukan bantuan pernafasan.

Jabatan Kawalan Penyakit menyatakan 235 kematian melibatkan mereka yang berumur antara 20 hingga 100 tahun dan  64 peratus daripada mereka berumur 60 tahun ke atas.

Satu kes kematian melibatkan seorang wanita mengandung, dua meninggal dunia di rumah di Bangkok dan Narathiwat.

Bangkok merekodkan 4,226 kes baharu diikuti Samut Sakhon 1,639 , Samut Prakan 1,006 dan Chonburi 1,006.

Tiga kluster dikesan di Samut Sakhon meliputi kilang sejuk beku ayam (81 kes), kilang seramik di daerah Muang (28 kes) dan syarikat  peralatan keselamatan di daerah Krathum Baen (96 kes).

Kluster lain adalah dua di Chonburi melibatkan 34 kes, dua di Ayutthaya yang mencatatkan 40 kes dan satu di Samut Prakan dengan 16 kes .

Kes import pula melibatkan ketibaan dari Oman (1), Myanmar (17) dan Malaysia (3).

Related posts

Leave a Comment