Kes baharu Brunei terus meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN 9 Ogos – Hari ketiga berturut-turut, Brunei Darussalam terus mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 apabila merekodkan 38 kes jangkitan tempatan dan empat kes import.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini adalah 406 kes dengan tiga kematian.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar dalam sidang media petang ini berkata, dua lagi kluster baharu dikenal pasti iaitu Chung Hwa Kuala Belait dan ABCi.

Sabtu lalu negeri itu merekodkan tujuh kes tempatan dan semalam 15 kes tempatan. Untuk rekod, kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan di negeri itu pada 6 Mei 2020 dan sejak itu hanya merekodkan kes import.

Menurut Dr. Md Isham, empat kes yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster Total, 29 kluster Chung Hwa dan lima kes ABCi.

Empat kes import pula melibatkan sebuah keluarga yang tiba dari Afrika melalui Kuala lumpur pada 30 Julai lalu.

Katanya, pengesanan kontak kepada kes-kes berkenaan sedang giat dijalankan.

Pada masa yang sama, beliau juga memberitahu, sebelas kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 305 kes pulih manakala kes aktif pula 98.

Berikutan perkembangan itu, beberapa langkah pengawalan diperketatkan sehingga 21 Ogos termasuk melarang perhimpunan ramai kecuali bagi urusan pengebumian jenazah terhad 15 orang dan lima orang untuk akad nikah.

Di samping itu semua pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta diminta bekerja dari rumah kecuali bagi sektor tertentu seperti kesihatan dan keselamatan.

Orang ramai juga digalakkan duduk di rumah dan keluar jika perlu termasuk hanya dua orang untuk membeli barang keperluan.

Related posts

Leave a Comment