7 kes baharu selepas setahun

HuBRUNEI DARUSSALAM 7 Ogos – Selepas lebih setahun tanpa kes tempatan, Brunei Darussalam hari ini merekodkan tujuh kes baharu jangkitan Covid-19 dan satu kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan 347 orang.

Menteri Kesihatan, Dr. Mohd Isham Jaafar dalam sidang media hari ini memberitahu, lima dari kes terbaru itu mempunyai kaitan dengan salah sebuah pusat pemantauan di negara ini manakala dua lagi belum dikenal pasti.

“Kelima-lima kes ini tidak mempunyai sebarang perjalanan ke luar negara dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini. Kluster ini dipercayai berkemungkinan terdedah kepada salah seorang kes import,” katanya.

Kes melibatkan seorang wanita berumur 37 tahun yang telah menerima dua dos suntikan. Beliau mengalami tanda-tanda jangkitan ringan pada 3 Ogos.

Satu lagi kes, juga wanita berumur 24 tahun yang tidak mempunyai sebarang gejala dan telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Kes berikutnya, juga wanita 23,  sudah menerima dua dos suntikan dan tidak mempunyai tanda jangkitan, disusuli kes seorang wanita, 37 yang mengalami tanda jangkitan ringan pada 3 Ogos selama dua hari. Kes ini menerima satu dos suntikan.

Satu lagi kes, seorang lelaki 54, tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara, dan mula menunjukkan tanda jangkitan ringan pada 3 Ogos.

Begitu juga kes seorang lelaki, 34 yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mula menunjukkan tanda jangkitan ringan pada 2 Ogos.

Satu kes import pula melibatkan seorang lelaki , 37 yang tiba di negara ini pada 30 Julai dari Timur Tengah melalui Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat Diraja Brunei B1874. Kes ini mula menunjukkan tanda tanda jangkitan ringan pada 3 Ogos dan lelaki ini telah menerima dua dos suntikan vaksin

Sementara itu, dua kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan disahkan sembuh menjadikan jumlah kes pulih 294 orang manakala kes aktif pula sebanyak 50 orang

Related posts

Leave a Comment