Malaysia catat 3,010 kes baharu

PUTRAJAYA 16 Jan. – Kes jangkitan Covid-19 kekal dengan angka 3,000 apabila sejumlah 3,010 kes baharu Covid-19 direkodkan setakat pukul 12 tengah hari ini, turun sedikit berbanding 3,074 kes yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes baharu itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,808,347 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 99.1 peratus kes yang dikesan hari ini berada dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Selebihnya 0.9 peratus lagi adalah pesakit Covid-19 dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

“Kes yang dilaporkan hari ini adalah 2,747 daripada penularan tempatan dengan 263 adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhannya, daripada kes aktif itu, setakat ini terdapat 182 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 146 kes disahkan Covid-19 serta 36 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sejumlah 83 kes memerlukan bantuan dengan 58 daripadanya dijangkiti Covid-19 serta 25 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya berjaya mengesan tujuh kluster baharu, sekali gus menjadikan sebanyak 6,212 kluster penularan Covid-19 sudah dikesan oleh Kementerian Kesihatan.

Setakat tengah hari ini sebanyak 2,584 kes sembuh dilaporkan menjadikan sehingga kini sebanyak 2,735,355 kes atau 97.4 peratus sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus berkenaan.

Related posts

Leave a Comment