Terus catat peningkatan kes harian

PUTRAJAYA 6 Ogos – Kes jangkitan baharu Covid-19 dalam negara kekal pada paras 20,000 dengan 20,889 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu, meningkat dari 20,596 kes semalam.

Jumlah kes baharu ini merupakan angka tertinggi sejak pandemik itu bermula lebih setahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, dengan kes baharu ini ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara kini sebanyak 1,224,595.

Daripada 20,889 kes itu, sebanyak 273 kes (1.3 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 20,616 kes (98.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Secara keseluruhan, hanya 4,292 kes (20.5 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19.

Dalam pada itu, sebanyak 16,394 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 993,020 kes.

Selain itu 160 kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 10,179 kes.

Selangor merekodkan 51 kes diikuti Johor 32, Kedah 22, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 17, Negeri Sembilan 14, Pahang 6, Sabah 5, masing-masing empat kes di Melaka dan Terengganu, tiga di Perak, serta dua di Pulau Pinang.

Kes memerlukan rujukan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,096 kes, manakala 545 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment