Sembilan lagi positif di Parlimen

PUTRAJAYA 30 Julai – Sembilan lagi kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen, menjadikan jumlah keseluruhan 11 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sembilan kes itu dikesan melalui kit ujian kendiri RTK Antigen air liur yang dilaksanakan petang semalam.

Katanya, pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan selepas terdapat dua kes positif yang dikesan di dalam bangunan berkenaan.

Semalam, 29 Julai pukul 12.30 tengah hari, Kementerian Kesihatan (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid- 19 yang hadir ke Parlimen.

Kes pertama seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu lalu dan dilaporkan positif Covid-19 semalam selepas melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema.

“Bagi kes kedua pula, dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, siasatan kes mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan kes positif yang dikesan dalam saringan petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari, sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan juga negatif Covid-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka, sebelum bertugas di Parlimen.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan, didapati kes dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

“KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva,” katanya.

Beliau berkata, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan digerakkan, bagi menjalankan saringan di Parlimen semalam yang tamat pada pukul 8 malam.

“Seramai 1,183 individu sudah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag dan daripada jumlah yang disaring, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh kes yang dikesan melalui RTK Ag air liur.

“Dua daripada 10 kes positif itu mengalami gejala ringan tetapi stabil dengan lapan kes tidak bergejala.

“Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan COVID-19 berkenaan,” katanya.

Secara keseluruhan, Dr Noor Hisham berkata, 10 kes dikesan melalui kit kendiri dan satu menerusi RT PCR.

“Berikutan pengesanan kes positif Covid-19 ini, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment