Vaksin : Kerajaan tidak paksa rakyat

KUALA LUMPUR 28 Julai – Kerajaan tidak akan memaksa rakyat mengambil vaksin Covid-19 selaras dengan kebebasan program vaksinasi yang lain dalam dasar kesihatan awam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semua vaksinasi yang lain tidak diwajibkan dan diambil secara sukarela.

“Kerajaan tidak mahu sampai memaksa orang ramai mengambil vaksin tetapi berharap kemudahan dan kebebasan dapat diberikan kepada mereka yang sudah lengkap vaksin,” katanya dalam penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, petang ini.

Kerajaan harap dengan kemudahan (kebebasan) ini, akan menarik mereka yang enggan berdaftar atau menerima vaksin ini.

“Mungkin mereka akan terpanggil apabila melihat orang yang sudah lengkap vaksin diberikan kemudahan nanti,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mengenai cadangan supaya mewajibkan semua rakyat mendapatkan vaksin.

Sementara itu, mengenai perbekalan vaksin COVID-19 Sinovac digunakan bagi suntikan pertama untuk lapan juta orang yang masih belum vaksin, Khairy berkata, bekalan 14 juta stok itu untuk pasaran terbuka, kerajaan negeri dan swasta.

Beliau menjelaskan, bekalan vaksin Pfizer terikat dengan jadual penghantaran yang ditetapkan dua minggu ke hadapan.

Justeru, katanya, sukar untuk kerajaan membuat unjuran bekalan Pfizer.

“Apa yang dibuat Pfizer menjadi amalan syarikat itu untuk semua negara di dunia.

“Menggantikan vaksin Sinovac dengan bekalan Pfizer akan mengambil kira pertimbangan kepada kemampuan kerajaan kerana perolehan vaksin sudah maksimum,” katanya.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa pertimbangan kerajaan itu bagi memastikan semua rakyat tidak kira di pedalaman, luar bandar dan kawasan bandar akan terus mendapat vaksin sekurang-kurangnya satu dos menjelang Oktober ini.

Related posts

Leave a Comment