Semua jenis vaksin baik, berkesan

KUALA LUMPUR 28 Julai – Semua jenis vaksin adalah baik dan berkesan dalam mencegah jangkitan varian Delta Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, vaksin AstraZeneca, Pfizer dan Sinovac yang diberikan kepada rakyat Malaysia setakat ini telah terbukti berkesan terhadap varian baharu itu.

Setakat kita tahu sekarang, vaksin Pfizer dan AstraZeneca, sudah pun menunjukkan, melalui penerbitan dalam jurnal kesihatan bahawa walaupun ada sedikit penurunan dari segi keberkesanannya terhadap varian Delta, ia masih lagi berkesan.

“Vaksin Sinovac telah pun kita terima maklumat daripada pengeluar sendiri yang mengatakan bahawa Sinovac juga memberi tahap perlindungan yang baik terhadap varian Delta,” katanya.

Beliau turut merujuk di Indonesia sebahagian barisan hadapan kesihatannya mengambil Sinovac, tetapi di Malaysia, Pfizer.

“Walaupun berlaku sedikit kematian di sana tetapi jumlah yang terdedah kepada virus yang terpaksa masuk ICU dan meninggal dunia adalah kadar yang rendah,” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 di sini petang ini..

Mengenai pelaksanaan dos ketiga (booster dose) dan vaksin heterologous (campuran vaksin) , perkara itu masih lagi dalam kajian kumpulan pakar dan akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan.

Katanya, untuk vaksin dos ketiga, minggu hadapan pihaknya akan mendengar syor daripada pakar.

Related posts

Leave a Comment