Berapa ramai baca al-Fatihah, tafakur?

KUALA LUMPUR 26 Julai – Disebabkan ghairah dengan ‘peraturan mesyuarat’ ,  permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya Dewan Rakyat membaca Al-Fatihah dan bertafakur seolah-olah tidak dipedulikan.

Entah berapa ramai yang memenuhi permintaan Perdana Menteri itu disebabkan Dewan Rakyat ketika itu riuh dan kalut dengan wakil rakyat bangun atas alasan ‘peraturan mesyuarat’.

Muhyiddin dalam permulaan ucapannya meminta angota Dewan Rakyat membaca Al-Fatihah dan bertafakur khusus untuk mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Dalam suasana kecoh itu, tidak dapat dipastikan berapa ramai yang mengambil sedikit masa untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri sebelum beliau menyambung ucapan berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Begitulah suasana ‘pembukaan’ di Dewan Rakyat setelah begitu lama wakil rakyat ‘bercakap sendirian’ di luar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suasana sebegitu bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan.

Permulaan sidang khas sudah panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.

Kekecohan itu bermula apabila wakil rakyat pembangkang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan berhubung ketiadaan perbahasan, usul dan undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat pada sidang khas berkenaan.

Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) meminta penjelasan sama ada sidang khas terbabit selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir Mohamad (Langkawi-Pejuang) turut menyuarakan perkara sama dan menyifatkan sidang khas terbabit bukan sidang Parlimen seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

KS Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pula bertanya sama ada Azhar Azizan hanya penurut kepada kerajaan kerana tidak membawa perkara mengenai Ordinan dan Proklamasi Darurat dalam Dewan Rakyat.

Keadaan berterusan dengan beberapa wakil rakyat pembangkang lain turut berdiri meminta penjelasan daripada Azhar Azizan.

Bagaimanapun ketika Azhar Azizan mula memberi penjelasan terhadap semua perkara dibangkitkan wakil rakyat pembangkang, kekecohan berlaku sehingga memaksa beliau mengarahkan semua Ahli Parlimen supaya duduk dan diam.

“Kamu bawa Peraturan Mesyuarat tetapi kamu sendiri tak ikut Peraturan Mesyuarat. Kalau saya bercakap, semua kena diam.

“Oleh kerana Yang Berhormat semua tak nak dengar apa yang saya nak cakap, saya nak beritahu bahawa saya tidak bersetuju dengan apa Yang Berhormat semua cakap tadi,” katanya.

Selepas meminta Perdana Menteri menyampaikan ucapan, suasana masih kecoh menyebabkan ucapan itu terganggu sehinggalah keadaan kembali tenang selepas beberapa ketika.

Related posts

Leave a Comment