Belanjawan 2022 pada 29 Oktober

KUALA LUMPUR 26 Julai – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 September ini, manakala Belanjawan 2022 pada 29 Oktober, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan (Recovery, Resilience, Reform).

“Tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan, kesinambungan PPN dan langkah pemulihan lain negara akan turut diperincikan ketika pembentangan RMKe-12 dan Belanjawan 2022.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra Belanjawan termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan depan, selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses dan pembabitan rakyat dalam penyediaan belanjawan tahunan.

Related posts

Leave a Comment