Proklamasi Darurat tidak disambung

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang tamat pada 1 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab beberapa pertikaian berhubung ordinan itu yang dibangkitkan anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan pihak pembangkang, yang menuntut penjelasan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.

Sebilangan anggota parlimen pembangkang mengatakan peraturan darurat harus dibatalkan melalui Parlimen sebagaimana yang dikehendaki oleh Fasal 150 (3).

Related posts

Leave a Comment