Singapura catat kematian ke-37

SINGAPURA 25 Julai – Seorang wanita berusia 83 tahun yang tidak divaksinasi meninggal dunia akibat Covid-19, kematian ke-37 di Singapura semalam.

Mangsa mengalami demam dan batuk pada 16 Jun tetapi tidak mendapatkan rawatan sehingga dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 18 Jun.

Wanita yang tinggal di Bukit Merah itu diuji positif Covid-19 pada keesokan harinya dan dikaitkan dengan kluster 121 Bukit Merah View..

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam kenyataannya memberitahu,  wanita itu juga mempunyai sejarah penyakit tekanan darah tinggi dan hiperlipidemia atau kolesterol tinggi.

Dia dikaitkan dengan kluster Bukit Merah View pada 21 Jun, bersama dua pesara wanita lain berusia 86 dan 80 tahun. Kluster itu ditutup pada 19 Julai.

Kluster itu bersama dengan kluster Covid-19 yang lebih kecil di kawasan kejiranan, muncul setelah kes Covid-19 dikaitkan dengan pasar dan pusat makanan di 115 Bukit Merah View.

MoH juga menyatakan jumlah keseluruhan jangkitan baharu dalam masyarakat telah meningkat kepada 1,027 kes pada minggu lalu berbanding 238 kes pada minggu sebelumnya.

Sebanyak 490 pesakit kini dirawat di hospital, dengan sebilangan besarnya di bawah pengawasan.

Terdapat 12 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan satu dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Sembilan pesakit berusia lebih 60 tahun, yang tidak divaksinasi atau hanya menerima satu dos suntikan kini  dalam keadaan tenat.

Related posts

Leave a Comment