Sinovac berkesan tangani Delta

VAKSIN CoronaVac atau lebih dikenali sebagai Sinovac yang digunakan secara meluas, termasuk di negara ini berkesan menangani Covid-19, termasuk varian Delta.

Bernama melaporkan, pengeluarnya, Biotech Ltd, berkata meskipun belum ada lagi data tersedia mengenai kesan perlindungannya, kajian membuktikan keberkesanan vaksin itu di beberapa negara seperti Brazil, Indonesia, Chile dan Turki.

Jurucakap syarikat, Liu Peicheng, berkata keberkesanannya melebihi 90 peratus terhadap jangkitan parah dan kemasukan ke hospital, malah kadar jangkitan selepas vaksinasi di negara terbabit juga sangat rendah.

“Walaupun ada penurunan dalam kesan peneutralannya, vaksin ini tetap efektif terhadap varian Delta,” katanya yang berpangkalan di ibu pejabat syarikat itu di Beijing, dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

CoronaVac (Sinovac) adalah vaksin tidak aktif dan antara vaksin COVID-19 paling banyak digunakan di dunia. Namun, akhir-akhir ini terdapat kebimbangan mengenai keberkesanannya terutama terhadap varian yang lebih mudah berjangkit seperti Delta.

Mengenai keperluan suntikan penggalak, Peicheng berkata, walaupun penyelidikan Sinovac menunjukkan peningkatan kadar antibodi yang ketara selepas dos ketiga, syarikat itu masih mengkaji keperluannya dan prosedur lain yang berkaitan.

“Sinovac sedang giat menjalankan penyelidikan klinikal ke atas vaksin khusus sebagai suntikan ketiga untuk meningkatkan imuniti.

“Vaksin baharu itu akan memberikan perlindungan yang lebih tinggi khususnya terhadap varian Gamma dan varian Delta yang mudah berjangkit.

“Selepas penyelidikan selesai, kami akan mempertimbangkan keperluan untuk mengemukakan cadangan dos ketiga kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Related posts

Leave a Comment