Tiada vaksinasi remaja bawah 17 tahun

PUTRAJAYA 22 Julai – Remaja berumur bawah 17 tahun, termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan, berkata ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas remaja pada usia itu mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti kajian dijalankan di Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan itu menyebut, ketika ini pemberian vaksin hanya kepada remaja yang akan mencapai usia 18 tahun termasuk pelajar tahun peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Vaksinasi bagi golongan ini akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang ditetapkan.

“Selain itu, usaha sedang dilakukan untuk mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak.

“Pelaksanaan ini dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah,” katanya.

Ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Berikutan itu, ia akan membuat makluman lanjut selepas tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan ini diputuskan kelak.

Kenyataan itu turut menyebut, pendaftaran bagi kumpulan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun sememangnya sudah diterima oleh sistem MySejahtera, namun tiada janji temu diberikan kepada kumpulan usia berkenaan buat masa sekarang.

“Sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan hal ini.

Ketika ini, keutamaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment