49 didakwa langgar SOP solat direman

BUKIT MERTAJAM 21 Julai – Selepas beberapa jam tular video solat Aidiladha yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), seramai 49 individu termasuk seorang warga tempatan direman antara tiga dan empat hari mulai hari ini.

Mereka direman bagi membantu siasatan selepas didakwa melanggar SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar pekarangan Surau Taman Pelangi, Juru, di sini semalam

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak.

Kesemua suspek terdiri daripada 48 warga Bangladesh berusia 20 hingga 43 tahun direman empat hari bermula hari ini, manakala seorang warga tempatan berusia 64 tahun direman tiga hari bermula hari ini.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu kesemua suspek yang berpakaian lokap dibawa ke mahkamah pada pukul  10.10 pagi oleh polis dengan menggunakan tiga trak.

Semalam polis melancarkan gerakan mengesan kira-kira 200 warga asing selepas dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat di luar perkarangan surau hingga ia tular di media sosial.

Video berdurasi 22 saat itu memaparkan ratusan individu yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar pekarangan surau yang dirakamkan orang awam yang melalui kawasan terbabit.

Dalam video berkenaan kesemua individu terbabit solat dalam keadaan penjarakan fizikal, namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini dalam Pelan Pemulihan Negara.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Jabatan Imigresen (Imigresen) mengambil tindakan pengusiran mengikut Akta Imigresen 1958/63 sekiranya pelanggaran SOP solat sunat Aidiladha itu membabitkan warga asing.

Related posts

Leave a Comment