Separuh penduduk siap vaksin penuh

SINGAPURA 21 Julai – Separuh daripada penduduk Singapura telah mendapat vaksin Covid-19 sepenuhnya dan satu pertiga pula telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, dalam masa empat minggu, jika semua berjalan lancar, kadar perlindungan vaksinasi Singapura dijangka jauh lebih tinggi dan pemerintah mungkin boleh melonggarkan langkah-langkah sekatan.

Melalui Facebooknya, beliau berkata situasi pada masa sekarang lebih selamat berbanding enam bulan lalu

Menulis demikian di laman Facebooknya pada Selasa (20 Jul), Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura sudahpun membuat kemajuan baik secara keseluruhannya. 

Beliau berkata Singapura harus bersedia menempuhi sebarang rintangan sepanjang usaha memajukan diri ke hadapan dalam perjuangan menentang koronavirus atau yang disifatkannya sebagai ‘musuh yang menggerunkan’ itu.

Mengenai langkah kembali semula ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) mulai esok (Khamis, 22 Julai, sehingga 18 Ogos), beliau berkata: “Kita semua kecewa dengan langkah mundur ini tetapi Covid-19 adalah musuh yang kuat,”.

“Kami berharap dapat mengelakkan tercetusnya beberapa kluster kecil di setiap pasar dan pusat penjaja seperti yang berlaku di sekitar Pasar Bukit Merah View. Ia akan memberi kami masa untuk mendapatkan lebih ramai orang divaksin sepenuhnya, terutama warga tua belum divaksin yang paling berisiko,” kata Lee.

Selain itu, tambah Perdana Menteri, strategi utama Singapura untuk melawan COVID-19 adalah ujian berkala.

Dengan kes positif dikesan baru-baru ini di pasar dan pusat penjaja, para penduduk yang tinggal berhampiran sesetengah tapak penularan boleh mengambil kit Ujian Pantas Antigen (ART) untuk melakukan ujian itu sendiri.

Lee berkata,  beliau melihat ramai penduduk mendapatkan kit tersebut apabila mengunjungi tempat pengambilan ART di Teck Ghee dan Cheng San Selasa lalu.

“Sebilangan daripada mereka memberitahu saya mereka mahu memastikan mereka dan keluarga mereka OK. Gembira kerana mereka memainkan peranan mereka untuk melindungi diri serta masyarakat,” katanya lagi. 

Related posts

Leave a Comment