35 pasar ada jangkitan kes

SINGAPURA 21 Julai – Sekurang-kurangnya 35 pasar dan pusat penjaja dikesan mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang ada kaitan dengan kluster Pelabuhan Perikanan Jurong.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kebanyakan pasar mempunyai kurang daripada tiga kes termasuk Pusat Penjaja Amoy Street, Pasar dan Pusat Penjaja Ang Mo Kio, Pasar Teban Garden, Pasar dan Pusat Penjaja Tiong Bahru.

Empat pasar disenaraikan sebagai kluster yang berkait dengan kluster Pelabuhan Perikanan Jurong – Pasar dan Pusat Penjaja Chong Boon, Pasar dan Pusat Penjaja Hong Lim, Pasar dan Pusat Penjaja Haig Road serta Pasar Chong Pang.

Sebanyak 25 kes berhubung kait dengan Pasar dan Pusat Penjaja Haig Road manakala 10 kes dikesan di Pasar Chong Pang. Kedua-dua pasar itu akan ditutup kepada umum selama dua minggu mulai hari ini hingga 4 Ogos.

Sementara itu, MoH menyatakan jumlah kes baharu dalam masyarakat meningkat kepada 643 kes pada minggu lalu dari 37 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes yang tidak berhubung kait dalam masyarakat juga meningkat kepada 68 kes pada minggu lalu berbanding 10 kes pada minggu sebelumnya.

Sebanyak 332 pesakit dirawat di hospital, dengan kebanyakannya dalam keadaan baik manakala lima kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan, dan satu dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Tidak seorang pun daripada mereka sudah menerima vaksinasi lengkap dan tetdapat bukti yang menunjukkan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius jika seseorang dijangkiti.

Dalam tempoh 28 hari lalu, 10 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Tujuh daripadanya tidak divaksinasi, tiga lagi baru mendapatkan sebahagian vaksin dan tidak ada menerima vaksinasi penuh.

Setakat semalam, Singapura melaporkan sejumlah 63,440 kes Covid-19.

Related posts

Leave a Comment