Singapura lapor 92 kes baharu

SINGAPURA 18 Julai – Setakat pukul 12 tengah hari ini, Singapura melaporkan 88 kes baharu Covid-19 dalam masyarakat dan empat kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan, sebanyak 23 kes adalah berkaitan Kluster KTV dan 37 kes mempunyai kaitan dengan Kluster Pelabuhan Perikanan Jurong.

Sebanyak 30 kes berkaitan dengan kes yang lepas dan 17 tiada kaitan dengan mana-mana kes.

Di samping itu, empat kes melibatkan warga emas yang berusia 70 tahun ke atas dan belum mendapat vaksin.

Kesemua kes import pula telah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN). Satu kes dikesan sejurus tiba di Singapura dan tiga lagi sakit semasa menjalani SHN atau pengasingan.

Sementara itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata kluster besar Covid-19 yang muncul baru-baru ini adalah satu peringatan mengenai kepentingan vaksinasi.

“Ini terutama sekali bagi warga emas yang boleh sakit teruk jika mereka dijangkiti,” kata Lee dalam satu catatan Facebook hari ini.

Menurut Lee,  setiap orang mempunyai peranan untuk memastikan negara ini selamat dan mencapai keadaan norma baru.

“Mereka yang telah mengunjungi KTV, Pelabuhan Perikanan Jurong atau sebarang pasar dan pusat makanan yang terjejas digesa menjalani ujian Covid-19,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya meneruskan amalan memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga jarak selamat.

Related posts

Leave a Comment